7 Dec 2012 Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Kedah sasar 50 000

Posted by Prof. Era Pasca 0 341 comments


ALOR SETAR - Lebih 50,000 orang dijangka hadir pada Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Kedah yang akan diadakan pada 7 Disember 2012 di Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, di sini.

Pengerusi DAP Kedah yang juga pengerusi bersama program, YB. Lee Guan Aik berkata, perhimpunan yang bermula pada jam 2 petang itu akan menghimpunkan ahli-ahli dari PAS, DAP dan Pakatan Rakyat (PKR).
“Bas Jelajah Merdeka Rakyat juga akan turut serta dalam perhimpunan yang diadakan itu selain ucapan daripada Cikgu Bad pada jam 5 petang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena majlis Perhimpunan Kebangkitan Rakyat Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, di sini.

Menurutnya, semua pemuda dari PKR akan turut menyampaikan ucapan dan perhimpunan secara besar-besaran akan bermula pada jam 8 malam.
“Pada jam 2 petang akan diadakan majlis Bicara Wanita Pakatan Rakyat di samping persembahan kebudayaan pelbagai kaum melibatkan tarian singa, chingay, silambam dan silat gayong pada jam 3 petang,” katanya.
Beliau memberitahu, konvoi anak muda juga turut diadakan di samping persembahan pentas yang menampilkan Cikgu Bad, Ketua Pemuda PAS, Keadilan dan DAP Kedah.
“Pada jam 5 petang akan berlangsung kuliah santai oleh Ustaz Azhar Idrus serta penampilan Leman Raja Lawak dan Radhi Mat Din,” katanya.
Beliau menjelaskan, Menteri Besar yang juga Pengerusi Majlis Perhimpunan itu dijangka hadir pada program yang diadakan itu.

“Pemimpin tertinggi iaitu Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim dan Tuan Guru Haji Hadi Awang turut menyampaikan ucapan pada majlis itu,” ujarnya.

Tambahnya, perhimpunan yang diadakan pada kali ini dijangka akan dihadiri lebih daripada 50,000 orang kerana ia adalah program Peringkat Negeri.
“Kita akan adakan program seperti ini secara berterusan di negeri ini dalam menghadapi pilihanraya umum ke-13 tidak lama lagi,” katanya.
Menurutnya, Pakatan Rakyat (PR) akan memberikan tentangan hebat kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO dalam menghadapi pilihanraya akan datang.
“Kehadiran rakyat yang begitu ramai pada perhimpunan ini secara tidak langsung akan membimbangkan UMNO yang akan menjadi penentu kepada nasib BN,” katanya.
Pihaknya percaya rakyat yang akan menentukan pada pilihanraya yang akan diadakan nanti dan ia juga diharap akan mewujudkan perhimpunan lain di negeri ini.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PAS Kedah, Ustaz Musoddak Ahmad berkata, minimun seramai 2,000 ahli PAS dalam setiap kawasan yang melibatkan 15 kawasan di negeri ini dijangka menghantar ahli-ahli mereka untuk menyertai perhimpunan ini.

“Tema pakaian pada perhimpunan ini ialah kuning, hijau, oren dan merah dan kita berharap perhimpunan yang diadakan ini akan berjaya sepertimana perhimpunan yang diadakan di negeri Kelantan dan Johor sebelum ini,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri Kedah, Cikgu Azman Nasrudin.


COUNTDOWN JANGKA HAYAT UMNO BN
Comments
0 Comments
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...